Apa itu alergen
Alergen adalah sesuatu yang menyebabkan tindakan alahan, berupa
protein halus dalam bahan-bahan tertentu.
Contohnya alergen yang disebarkan oleh udara adalah debunga dan
kulapuk manakala yang lain-lainnya terdapat di dalam makanan seperti
kerang, kekacang dan susu.
Apa yang menyebabkan tindak balas alergik
Sistem imun mengandungi dua jenis sel darah putih iaitu sel T dan
sel B.
Sel-sel ini membantu sistem imun mempertahankan tubuh dengan
mengenal pasti bahan-bahan asing dan berpotensi membahayakan, dan
kemudiannya melepaskan bahan kimia seperti histamin untuk
memeranginya.
Tindak balas alergik berlaku apabila sistem imun tersilap mengenal
pasti bahan-bahan berbahaya seperti debunga mengakibatkannya menjadi
sensitif terhadap bahan itu. Pendedahan yang berulang-ulang, boleh
mencetuskan tindak balas alergik.
Siapa yang alah
Alahan mungkin diwarisi memandangkan rata-rata yang mengalaminya
mempunyai sejarah keluarga yang sama.
Bagaimanapun, semua orang tidak terkecuali daripada mengalaminya
pada mana-mana peringkat umur. Faktor-faktor persekitaran boleh
menjadikan sistem imun seseorang terlebih sensitif.
Ini seterusnya mencetuskan alahan di kalangan individu tanpa sejarah
keluarga, mahupun mendorong permulaannya (alahan) pada mereka yang
sedia mempunyai `genetik' itu.
Apa pula kejutan anafilaksis/anafilaktik
Ia merupakan satu tindak balas yang membahayakan nyawa yang boleh
bermula dalam masa beberapa saat ke minit selepas pendedahan.
Gejala termasuklah tompokan merah yang timbul di hampir keseluruhan
badan, kulit agak hangat apabila disentuh, kesukaran bernafas dan
tekanan darah yang menjunam.
Pernafasan boleh terhenti manakala tubuh mengalami serangan
anafilaktik. Tanpa rawatan segera, kegagalan jantung malah kematian
bakal menyusul tidak lama.
Alergen daripada racun mahupun suntikan ubat-ubatan cenderung
menyebabkan anafilaksis berbanding lain-lain alergen.
Bagaimanapun, kejutan seumpama ini bukanlah suatu keadaan yang biasa
berlaku. Ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan tertentu serta bantuan
doktor.
Jenis-jenis alergen dan alahan
- Alergen rumah
Hama debu adalah organisme mikroskopik yang mendiami sisik kulit
manusia, yang lazimnya kita buang/gugurkan saban hari.
Ia biasanya dijumpai di atas bantal, tilam, perabot upholsteri dan
tempat menggantungkan pakaian. Hama debu ini menjadi punca utama
kepada kebanyakan kes alahan berulang.
Alahan pernafasan
Merupakan alahan yang paling kerap berlaku disebabkan oleh sel-sel
imun yang banyak terdapat di dalam saluran pernafasan serta terdedah
kepada alergen-alergen yang disedut setiap hari.
Alergen yang paling biasa disedut berasal daripada debunga, kulapuk,
hama debu dan daripada binatang peliharaan.
Demam alahan yang juga dikenali sebagai hay fever, dan asma
merupakan sebahagian alahan pernafasan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bagaimana Garam Kristal Himalaya Mengatasi masalah Asma
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
- Alahan makanan
Boleh menyebabkan bibir, kerongkong, muka dan lidah menjadi
bengkak/sembap selain perut meragam, muntah, kejang, ruam, ekzema
dan lelah.
Contoh makanan yang biasa menyebabkan alahan adalah susu, soya,
telur, kekacang, gandum, ikan dan kerang.
Ia lebih kerap terjadi di kalangan kanak-kanak tetapi boleh juga
dialami oleh orang dewasa.
- Alahan serangga
Satu dalam setiap 10 orang alah kepada racun yang disuntik oleh
lebah dan tebuan yang mengandungi alergen.
Bagi mereka yang tidak alah kepada sengatan tersebut mungkin
mengalami bengkak dan gatal-gatal kulit biasa selama beberapa jam.
Seseorang yang mengalami alahan serangga cenderung mempunyai ruam
yang besar, mengalami bengkak dan gatal-gatal dari beberapa hari ke
minggu.
Bagaimanapun, tindak balas boleh bertukar kepada kejutan anafilaktik
bagi sesetengah orang. Oleh itu, mereka yang sensitif kepada
sengatan serangga perlu berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan.
- Alahan ubat
Ia bukan satu fenomena biasa tetapi boleh menghasilkan satu tindak
balas yang tidak menyelesakan malah mengancam nyawa.
Alahan penisilin misalnya boleh menyebabkan gejala-gejala seperti
ruam yang ringan hingga kepada kejutan anafilaktik, dalam masa
beberapa minit.
Ubat-ubatan lain yang boleh menyebabkan tindak balas alahan adalah
seperti antibiotik, sulfa, antiepileptik dan insulin.
- Alahan kulit
Sangat biasa terjadi kerana kulit saban hari terdedah kepada
pelbagai jenis alergen dan terutamanya sangat sensitif disebabkan
oleh sejumlah besar sel mast dan T yang terdapat di dalam tisu-tisu
kulit.
Gejala: Bengkak, ruam, gatal-gatal dan kulit kemerah-merahan.
Alahan biasa yang dikenali sebagai dermatitis sentuhan disebabkan
oleh tumbuh-tumbuhan, sesetengah bahan cucian, krim dan barang
kemas. Ruam juga boleh disebabkan oleh ubat-ubatan serta makanan
tertentu.
Merawat dan menguruskan alahan
Langkah pertama adalah dengan mengenal pasti jenis tindak balas
alahan yang anda alami, sama ada mata berair, bersin atau kesukaran
bernafas.
Keduanya, cuba kenal pasti pencetus atau situasi yang menjurus
kepada gejala-gejala.
Tanya diri anda beberapa soalan seperti di bawah:
* Di manakah tindak balas berlaku? Di dalam atau di luar rumah?
* Apakah yang anda lakukan dalam masa yang sama? Adakah anda makan
atau minum?
* Ingat persekitaran anda - adakah terdapat sebarang serangga atau
binatang berhampiran anda?
* Cuba jejak kembali tindakan anda di dalam kepala - adakah anda
memakai sesuatu yang baru? Adakah anda menggunakan sabun atau bahan
pencuci baru?
Doktor akan melakukan ujian alahan dengan pelbagai alergen biasa
bagi mengesahkan alahan anda.
Sebaik dikenal pasti, uruskan alahan anda dengan beberapa tip mudah
berikut:
- Hindari alergen yang diketahui
- Elakkan asap rokok atau lain-lain bahan yang merengsakan/miang
- Selalulah berjumpa doktor
- Jaga kesihatan anda.
No comments:
Post a Comment